Pak Lah dicabar nyatakan siapa mahu
lancar intifadah
Oleh Mohd Sabri Said
KULIM, 18 Dis (Hrkh) - Timbalan
Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dicabar menyenaraikan nama
kepimpinan Barisan Alternatif (BA) yang pernah mengeluarkan kenyataan kononnya cuba
melancarkan keganasan seperti intifadah di Palestine.
Ahli Majlis Tertinggi Parti KeAdiLan
Nasional (KeAdiLan), Saifuddin Nasution Ismail berkata, jika tiada bererti Dato'
Abdullah wajar bertanggungjawab terhadap isu yang boleh mengundang perpecahan yang
lebih ketara dalam masyarakat umat Islam.
"Tiba-tiba sahaja masyarakat
didedahkan dengan isu intifadah yang akan dilaksanakan oleh pembangkang negara ini.
Ini satu fitnah yang besar dan Dato' Abdullah kena senaraikan nama siapa yang
mengeluarkan kenyataan tersebut, " jelasnya dalam ceramah terima kasih di
Kampung Keladi, Kulim.
Menurutnya lagi, inilah cara yang
dilakukan oleh kepimpinan BN untuk mengembalikan imej parti yang telah ditolak oleh
rakyat dalam pilihanraya kecil Lunas dan juga umum tidak lama dulu.
Jadi bagi menghidupkan semangat
kemarahan ahli dan penyokong BN terhadap perjuangan BA kepimpinan tertinggi BN
terpaksa mencari ideal baru bagi tujuan selamatkan maruah Umno khususnya.
"Maruah dan kewibawaan Umno
sebenarnya telah jatuh tersungkur dalam medan pilihan raya negara ini jadi mereka
akan mencetuskan peristiwa baru supaya rakyat yang menyokong mereka marah semula,
" kata beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lunas.
Sebagai kepimpinan BN, Dato' Abdullah
semestinya mengawal diri dan menerima kekalahan di Lunas dengan hati terbuka
bukannya cuba mencetuskan pertelingkahan kaum semata-mata memenuhi senario politik
sempit parti mereka.
"Kawalan diri amat penting bagi
mereka yang tidak pernah kecundang dalam kancah politik tanahair semata-mata
mengwujudkan perasaan dendam yang membara," terang beliau di hadapan puluhan
ribu hadirin.
Turut berucap sama dalam majlis
tersebut ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Haji Mahfuz Haji Omar dan Ketua Dewan
Pemuda PAS Kedah, Saudara Aris Awang.
|